****
Petang itu, Ashraf terburu-buru pulang ke hostel. Pintu bilik B-21 diketuknya. Tidak lama kemudian, terjengul muka Bro Rahman yang basah.
"Ada apa, Ashraf?" Soal Bro Rahman hairan.
"Boleh saya masuk?" Ashraf meminta izin. Bro Rahman melebarkan pintu tanda mengalu-alukan kedatangan Ashraf.
Ashraf nampak sehelai sejadah sedang terbentang di sudut bilik. Jam dipandang.
"Sudah masuk waktu Asar. Kebetulan bro pun baru nak solat. Jom solat sekali." Ajak Bro Rahman mesra.
Ashraf teragak-agak. Melihatkan Bro Rahman yang sedang menantinya, digagahkan juga kaki ke bilik air. Diambil wuduk sekadar yang diingat sahaja. Baru dia terperasan, sudah bertahun-tahun dia tidak mengambil wuduk. Wuduk pun tidak ambil apatah lagi untuk mendirikan solat.
Kemudian, Ashraf menghampiri Bro Rahman yang sudah sedia untuk mengimamkan solat. Dia berdiri belakang sedikit di sebelah kanan Bro Rahman. AllahuAkbar...
Selesai solat, Ashraf terus mengutarakan masalahnya yang dipendam sejak tadi. Duduk bersama-sama Bro Rahman, Ketua Unit Agama Islam, membuatkan dirinya terasa kerdil.
"Ashraf ada masalah apa?" Bro Rahman bertanya lembut. Wajah Ashraf ditatapnya. Siapa yang tidak kenal dengan Ashraf? Terkenal dengan kenakalannya di kolej itu.
Ashraf terdiam. Lidahnya terasa kelu tiba-tiba. Tetapi, digagahkan juga.
"Sebenarnya... saya nak jadi baik." Akhirnya, Ashraf meluahkan masalahnya.
Bro Rahman terdiam. Dipandangnya Ashraf lama.
Ashraf menarik nafas dalam-dalam. "Saya nak jadi baik. Saya nak berubah. Saya janji saya akan tinggalkan perkara-perkara jahat yang saya pernah buat. Saya harap bro boleh tolong saya."
Bro Rahman mengangguk faham. Faham dengan konflik yang melanda rohani anak muda di hadapannya itu.
"Ashraf nak berubah sebab perempuan?"
Soalan maut daripada Bro Rahman itu menyentak Ashraf. Perasaan segan mulai bertandang di hati. Namun, perlahan-lahan dia mengangguk.
Bro Rahman berdehem sedikit. Nampaknya, tujuan Ashraf perlu diperbetulkan. "Sebelum tu, Ashraf tahu tak maksud baik tu apa?"
Ashraf memikir-mikir sejenak. "Hmm.. Bagi saya, maksud baik adalah apabila orang tu melaksanakan perintah Allah."
Bro Rahman mengangguk. "Betul! Tapi, bro nak tanya Ashraf satu benda. Kita ambil contoh yang paling senang. Yang paling dekat dengan kita. Bagi Ashraf, kalau seorang lelaki tu solat lima waktu sehari semalam tapi bila masuk padang pakai seluar pendek sampai nampak kepala lutut itu dikira baik atau tak?"
Ashraf menggaru kepala. "Saya rasa tak."
"Kenapa Ashraf rasa tak? Padahal dia solat penuh lima waktu?" Bro Rahman menduganya.
"Sebab dia masih tidak mengikut perintah Allah. Walaupun dia solat, tapi auratnya tak terjaga." Ashraf menjawab dengan penuh yakin.
Bro Rahman mengiyakan. "Ashraf, sebelum kita nak berubah kita kena faham maksud baik itu. Adakah bila orang tu menunaikan kelima-lima rukun Islam tu dikira baik walhal dia bergaul bebas dengan jantina lain? Tak jugak, kan? Jadi, kalau Ashraf nak berubah, Ashraf kena berubah secara keseluruhannya."
Ashraf hanya diam mendengar tutur bicara Bro Rahman yang lembut. Perlahan-lahan dia mula memahami maksud tersirat yang sedang dibicarakan.
"Allah ada sebut dalam Al-Quran, 'Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu.' Yang ni ayat ke 208, Surah Al-Baqarah. Maksud di sini, Ashraf tak boleh laksanakan perintah Allah tapi sekerat jalan aje. Nak, buat. Kalau tak nak, Ashraf tinggalkan aje."
Bro Rahman menepuk bahu anak muda yang menunduk di hadapannya itu. "Jangan risau, bro akan Bantu Ashraf, insya-Allah. Tapi, satu aje bro nak pesan."
"Apa dia?" Ashraf bertanya.
"Ashraf kena berubah sebab Allah. Jangan sebab harta, wanita ataupun sesiapa sebab risau Ashraf akan berubah sekejap aje. Berubahlah kerana Dia dan bersyukurlah sebab Dia dah ketuk pintu hati Asyraf dan tebarkan hidayah pada Asyraf."
Asyraf berasa sebak. Baru dia menyedari bahawa Allah amat menyayangi hamba-hambaNya walaupun hambaNya sudah berbuat zalim kepadaNya.
"Baliklah. Buat solat sunat taubat nasuha. Insya-Allah, Allah akan permudahkan urusan Asyraf dengan gadis itu. Asyraf jangan risau sebab Allah dah janji perempuan yang baik hanya untuk lelaki yang baik."
Asyraf memeluk Bro Rahman erat. Air matanya tumpah juga di bahu lelaki itu.
****
Dua bulan kemudian, Asyraf memberanikan diri untuk berjumpa dengan gadis yang telah menambat hatinya itu. Dengan lafaz Bismillah, diluahkan keinginannya untuk menyunting gadis yang bernama Maslihah itu. Seminggu kemudian, dia mendapat kiriman SMS yang berbunyi: 'Sesungguhnya Allah telah menciptakan wanita itu daripada tulang rusuk lelaki. Izinkan saya untuk menjadi pelengkap tulang rusukmu sehingga ke Jannah, insya-Allah.'
Tengah malam itu, air mata Asyraf tumpah lagi di atas sejadah. Kali ini di hadapan Allah Yang Maha Melihat.
No comments:
Post a Comment